Sunday, December 6, 2009

PERKAHWINAN

Salam.

Entri kali ni Tok Mi nak ajak pembaca 'memecahkan minda sedikit' untuk berfikir secara mendalam mengenai perkahwinan. Bagi yang telah berkahwin, mungkin topik ni akan membantu sedikit sebanyak dalam mengenalpasti punca-punca masalah dalam rumahtangga. Bagi yang belum berumahtangga juga boleh membawa buah fikiran ini untuk your future marriage atau untuk keluarga.

Bahan-bahan penulisan ini adalah dari tesis Tok Mi sendiri yang disubmit untuk pengajian Masters Counseling di UM tentang perkahwinan. Apa juga yang ditulis ini bukanlah untuk 'mengajar' sesiapa tetapi untuk mengingatkan Tok Mi dan keluarga sendiri.

---------------------------------------------------------------------------------------

Perkahwinan merupakan satu ikatan resmi dan suci antara dua pasangan yang disatukan. Perkahwinan atas dasar cinta, suka sama suka mahupun perkahwinan yang diatur pastinya menuntut komitmen yang tinggi dari kedua-dua pasangan dan biasanya mempunyai tujuan yang sama iaitu membina satu kehidupan yang dikongsi bersama. Dari perkahwinan lahirnya keturunan dan seterusnya terbina satu institusi keluarga.

Namun tidak semua perkahwinan akan terjamin kekal bahagia selamanya dan ke akhirnya sebagaimana yang diidamkan. Banyak perkahwinan yang berakhir separuh jalan sahaja atas pelbagai sebab dan alasan. Ada yang meletakkan kesalahan pada pasangan lelaki dan tidak kurang juga wanita yang dipersalahkan. Ada juga kegagalan perkahwinan disebabkan wujudnya pihak ketiga di antara pasangan yang berkahwin.

Jangka masa perkahwinan tidak boleh dijadikan penentu kepada punca perceraian. Ada perkahwinan yang bertahan berpuluh tahun tetapi diakhir-akhir usia, perceraian berlaku juga. Tidak kurang juga perceraian yang berlaku pada pasangan yang tempoh berkahwin hanya sehari, seminggu mahupun sebulan. Inai masih merah dijari, sudah diceraikan. Perceraian tidak mengenal bangsa, agama, pangkat mahupun status ekonomi. Kaya atau miskin tidak boleh dijadikan faktor penentu kebahagiaan dalam perkahwinan. Di negara Malaysia kes-kes perceraian yang sering menjadi perhatian adalah di antara golongan selebriti dan juga golongan korporat terkemuka. Bukan kerana golongan ini yang selalu menjadikan perceraian ini perkara biasa tetapi kerana kisah mereka ini terpaksa dikongsi dengan awam memandangkan mereka ini adalah golongan terkenal. Hakikat sebenarnya perceraian berlaku pada mana-mana juga pasangan yang puncanya hanya pasangan-pasangan ini sahaja yang lebih tahu.

Dari maklumat yang diperolehi, kadar penceraian di Malaysia bagi pasangan beragama Islam sahaja disifatkan agak dahsyat. Dalam sehari purata 56 kes perceraian berlaku di Malaysia dan sebanyak 359 berlaku sebulan berdasarkan kepada statistik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada tahun 2007. Dari jumlah ini Lembah Klang mencatatkan jumlah tertinggi iaitu tiga daripada sepuluh pasangan di Kuala Lumpur, bercerai. Jumlah perceraian sepanjang tahun 2007 adalah 20,529. Manakala bagi tahun 2008, data yang diambil dari Januari sehingga Jun 2008 menunjukkan perceraian sebanyak 9,765. Trend perceraian di kalangan umat Islam di Malaysia setiap tahun kian meningkat dan keadaan itu amat membimbangkan. Tambahan pula perceraian sudah merangkumi angka melebihi kira-kira 10 peratus daripada jumlah perkahwinan setiap tahun.

Kenyataan di atas telah didedahkan oleh Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zawiyah Hassan pada bulan Ogos 2008 dan beliau turut berkata, bagi jumlah perkahwinan berusia satu hingga lima tahun, peningkatan kes penceraian sudah meningkat secara purata sebanyak 13 peratus. Jumlah negeri yang tertinggi seterusnya ialah Johor, Pulau Pinang dan Kelantan.

Bagi pasangan bukan Islam di Malaysia pula, dari maklumat yang diperolehi dari Buletin Perangkaan Sosial Terpilih, pada tahun 2002 sahaja , sebanyak 3,747 kes perceraian pasangan bukan Islam telah dicatatkan. Bilangan kes perceraian pada tahun berikutnya didapati menurun iaitu 3,267 kes pada 2003 tetapi meningkat sedikit kepada 3,288 kes pada tahun 2004. Berbanding 2002, beberapa negeri mengalami peningkatan dalam bilangan perceraian melibatkan Orang Bukan Islam pada tahun 2004. Peningkatan terbesar dicatatkan oleh Perak (332 kes) disusuli oleh Selangor (108) dan Sabah (67). Bagi tempoh yang sama, Johor mencatatkan penurunan terbesar bilangan perceraian Orang Bukan Islam dengan penurunan drastik sebanyak 99.1% dan Pulau Pinang (44.8%)

Data-data di atas hanya menjelaskan mengenai kes-kes perceraian yang berdaftar sahaja. Bagaimanapun bagi perceraian yang tidak didaftarkan atau perceraian di luar Negara Malaysia, tidak dapat diberikan jumlahnya apatah lagi kes-kes kemurungan perkahwinan yang tidak melibatkan perceraian. Ini bermakna tidak mustahil banyak kes-kes pasangan berkahwin yang mengharungi sisa-sisa perkahinan mereka dalam keadaan yang tertekan dan terpaksa.

Pelbagai faktor boleh dikaitkan dengan penyumbang kepada ketidakstabilan perkahwinan. Di antaranya termasuk :

i) Komunikasi antara pasangan dan anak-anak;
ii) Penyelesaian masalah
iii) Kekasaran rumahtangga
iv) Masa yang digunakan bersama
v) Ketidaksefahaman mengenai pengendalian kewangan
vi) Ketidakpuasan seksual
vii) Orientasi peranan antara pasangan (siapa lebih dominan)
viii) Sejarah keluarga
ix) Ketidakpuasan tentang anak-anak
x) Konflik peranan penjagaan anak-anak

Faktor-faktor ini adalah aspek yang digunakan dalam ujian pengukuran kepuasan perkahwinan pasangan-pasangan. Kita akan membincangkan dengan lebih lanjut dalam entri-entri akan dating mengikut faktor-faktor yang disenaraikan, insyaAllah.

2 comments:

husna said...

salam...
boleh saya panggil tokmi jugak?

saya belum berkhwin. dan belum terfikir pasal nak kawen dalam masa terdekat ni...
bila tengok orang2 yang dah kawen.. rasa cam tak bersedia.. tak bersedia tuk pegang tanggungjwp berkeluarga... kena komited. kena banyak bersabar. dan banyak menerima...
dan bila tengok kes-kes cerai berai ni... kadang2 rasa takut nak kawen pon ada...
hehhehee

tokmi said...

dear Husna,
Memanglah kalau dilihat di sekeliling kita ada pelbagai ragam dalam perkahwinan. perceraian setiap hari, namun tidak semesatinya kita akan melalui kepahitan yang sama. Masing-masing ada cara tersendiri handling perkahwinan. InsyaAllah dengan berkat kesabaran dan keikhlasan, sesebuah perkahwinan akan kekal ke akhir hayat. Jangan takut untuk berkahwin.
Bila dah mampu, seseorang Islam kena ke arah itu.
Good luck to you and saya doakan husna akan mendapat jodoh yang baik dan akan berkahwin. Nanti jemputlah saya ke wedding husna.