Tuesday, November 30, 2010

Air Dicincang Tidak Akan Putus

Memang pepatah Melayu 'Air Dicincang Tidak Akan Putus' ini kerap membawa saya kepada kenangan ketika saya masih di bangku sekolah rendah, tidak silap saya di darjah dua. Ketika itu guru bahasa Melayu pernah menyebut perumpamaan ini. Beliau pernah meminta kami cuba 'memotong' air bila balik ke rumah. Sejak itu, setiap kali mandi, saya akan cuba 'potong air' yang mengalir dari paip. Berkali-kali saya potong air tu, tapi pastinya air itu tidak akan putus (sehingga ke hari ini, bila saya melihat air mengalir, saya pasti tersenyum sendiri). Pepatah ini membuatkan saya kagum dengan kreativiti orang-orang Melayu terdahulu yang bijak menggunakan elemen persekitaran bagi menggambarkan keadaan manusia. Walaupun ada yang merasakan perumpamaan ini agak merendahkan pemikiran orang Melayu masakini yang telah didedahkan kepada pemikiran yang berasaskan pemikiran logik, namun pada pandangan saya perumpamaan 'Air Dicincang Tidak Akan Putus' ini seharusnya terus digunakan bagi menggambarkan pertalian saudara kandung yang tidak akan putus walau apa juga rintangan yang datang.

Saya suka jika saya dapat menggambarkan pertalian saya dengan adik beradik seibu sebapa saya dan mengaplikasikan perumpamaan 'air dicincang tidak akan putus' kepada keadaan yang menggambarkan pertalian kami. Secara ringkas, saya mempunyai enam adik beradik seibu dan sebapa, iaitu empat perempuan dan dua lelaki. Kami dilahirkan dalam sebuah keluarga sederhana yang dibina bersama oleh seorang bapa yang kami kagumi, Encik Yusoff bin Ahmad Shah @ Yusoff Bashah, yang kami panggil daddy, dengan seorang wanita cantik yang amat kami sayangi, Puan Hasnah binti Jaafar @Nina@Lina yang kami panggil mummy. Mummy pergi lebih awal dari daddy. Mummy pergi meninggalkan kami ketika berusia 45 tahun dan saya baru tamat tingkatan lima (1975). daddy pula pergi meninggalkan kami dalam tahun 1989 diusia 71 tahun. Alfatihah untuk daddy dan mummy..


Sejak pemergian mereka,kami berenam beradik membawa haluan kehidupan masing-masing. Yang perempuan berkahwin mengikut suami masing-masing dan yang lelaki pula, salah seorang yang 'kurang upaya'kami bergilir-gilir menjaganya. Walau perit dan susah sekalipun untuk menjaganya, itulah 'amanah' yang ditinggalkan oleh daddy dan mummy untuk kami. Adik lelaki yang nombor lima juga berkahwin dan tinggal di rumah pusaka peninggalan ibu bapa kami sehingga hari ini.



Mungkin disebabkan kami hilang tempat bergantung di usia yang terlalu muda, banyak perkara dalam kehidupan kami adik beradik yang terpaksa dilakukan sendiri tanpa bantuan sesiapa. Kami bekerja diusia muda dan berumahtangga juga diusia muda. Alhamdulillah kami bahagia dengan pasangan masing-masing sehingga ke hari ini.

Hubungan kami adik beradik, ada pasang surutnya. Akibat dari tekanan hidup, adakalanya kami bertelagah, bergaduh, bermasam muka sehinggakan sampai satu peringkat kami seolah-olah 'berpatah arang berkerat rotan' dan mahu putus saudara. Maklumlah tiada ibu bapa untuk menasihat dan menegur. Keadaan kami menjadi lebih keruh dengan adanya hasutan dan percubaan untuk melaga-lagakan kami adik beradik. Ada saja yang tidak kena dalam hubungan kami adik beradik. Rasa sentiasa panas sahaja. Kadangkala kami sendiri tidak tahu apa sebabnya.

Bagaimanapun, memang tepat sekali dengan perumpamaan 'air dicincang tidak akan putus'. Walau sepahit hempedu sekalipun perhubungan kami, pada setiap syawal kami akan sentiasa pastikan, dan menjadi satu kemestian kami enam beradik akan 'convoy' untuk berhari raya ke rumah ibu-ibu saudara kami. Setiap syawal kami akan melupakan kepahitan yang kami lalui. Kami akan lupakan persengketaan antara kami. Kami akan lupakan rajuk dihati masing-masing. Syawal memang selalu mempertemukan kami. Kami juga akan pastikan kami hadir pada setiap majlis yang diadakan di rumah sesiapa sahaja di antara kami. Selain dari itu, kami akan bantu semampu yang boleh, jika di antara kami dalam kesusahan kewangan ataupun sakit.

Kini perhubungan kami adik beradik menjadi bertambah erat. Saya pasti daddy dan mummy tenang melihat kami begini sekarang. Baru-baru ini pada 28 November 2010, kami berempat beradik (perempuan sahaja), Zainab, Zuraidah, Zurainy dan Zailan, dengan izin suami masing-masing kami telah mengaturkan perjumpaan yang tidak dapat kami lupakan, di Wangsa Walk dan kemudian bersambung di KLCC. Kesempatan itu juga kami ambil untuk meraikan ulangtahun perkahwinan kakak sulung kami, Zainab bt Yusoff. Cukup seronok walaupun dalam masa yang singkat kerana masing-masing ada komitmen masing-masing. Walaupun dua adik lelaki kami tidak turut serta namun nama mereka disebut dalam perbincangan kami tanda ingatan kami pada mereka.





Kepada kakak-kakak tersayang...Nab, Didah dan Nani, adik-adik yang dicintai, Pak Ngah dan An@Pak Uda... walau badai melanda,tsunami mengamuk,gunung berapi Merapi meledak, kalian semua akan tetap dihatiku sehingga ke akhir hayat. Kalian sentiasa dalam doaku. Jangan biarkan kita dipisahkan oleh pihak-pihak yang hasad dan dengki terhadap kekuatan hubungan kita. Semoga dengan izin Allah swt..air dicincang tidak akan putus.

Di antara kita berenam, kita tidak tahu siapa yang akan 'pergi' dahulu. Walau siapa yang akan pergi dahulu dan siapa yang terkemudian dijemput Allah swt, marilah kita sama-sama bermaaf-maafan,buangkan persengketaan lama,pujuklah rajuk di hati,pupuklah kasih sayang yang tidak berbelah bagi antara kita kerana kita adalah warisan peninggalan daddy dan mummy. Pastinya kita mahukan anak-anak, cucu-cucu kita serta generasi seterusnya mewarisi kekuatan hubungan persaudaraan yang ibubapa kita mahukan.

Nab..terima kasih yang tidak terhingga atas pengorbananmu menjaga kami ketika kami masih kecil bersama mummy. Jasamu akan sentiasa segar dan subur dihati kami dan dikenang hingga ke akhir hayat. Walau apa berlaku antara kita,akan ku anggap ia seperti air sungai yang berlalu dan tidak akan dikenang lagi.

Didah...terima kasih kerana telah menjaga dan menyelamatkanku semasa aku 'kehilangan punca'(selepas ketiadaan mummy). Segala teguran dan kemarahanmu terhadapku akan ku anggap sebagai penyelamat dari aku terus hanyut dalam kehidupan.

Nani....terima kasih atas sumbangan dan semangat yang diberikan padaku ketika aku 'buntu' dengan masaalahku di asrama. Setiap bulan pasti ada sahaja 'kiriman wang' dan surat kata-kata semangat yang ku terima darimu. Semua itu akan kuanggap pemberi 'nyawa' semasa aku ketandusan dan kelemasan dalam pergolakan hidup di asrama yang jauh dari keluarga.

Ngah...terima kasih kerana telah memberikanku 'kekuatan' yang luar biasa padaku dalam menghadapi permasalahan yang kau hadapi. Dalam mengharungi permasalahan bersamamu, banyak perkara yang telah membuatkan aku lebih matang dan tidak gentar menghadapi apa juga situasi termasuk 'tinggal berseorangan dirumah kosong!'. Segala apa yang berlaku di masa lampau akan kuanggap seperti 'guru' yang mematangkan aku. Alhamdulillah kini Ngah menjadi insan yang lebih bahagia.

An...yang kusayangi..terima kasih kerana keadaanmu telah mengajarku erti tanggungjawab, kemanusiaan dan kesabaran. Kamu adalah amanah daddy dan mummy.

Semoga anak-anak warisan daddy dan mummy ini akan sentiasa diberkati Allah swt, ditingkatkan iman,dipanjangkan usia, disempurnakan kesihatan,dimurahkan rezeki...semoga hubungan kita akan bertambah erat...bak air dicincang tidak akan putus....aminnn..

6 comments:

SyaNa said...

huwaaa makmok menitis air mata baca
mmg pun anak2 yusoff basha ni pelik sikit..gaduh2 pastu baik..hehe pastu bila gathering sangat lah happening..
tapi bila gaduh2 tu yg buatkan uols makin close..
kite pernah baca, bergaduh/bertengkar tu 1 komunikasi yang baik.betol ke makmok?

LanYus said...

Gaduh memang satu theraphy yang mengeluarkan energy negative dari badan kita. Kalau tak gaduh, energy negativ eakan berkumpul dan aka meletup satu hari nanti. Of course kesannya lebih dahsyat dari gaduh2 kecil.
Mama ok ke? tak nangis ke?

Jaja said...

Cis sedihla pulak baca ni.. Tu la.. Bila gaduh satu dunia gegar, bila baik ketawa tak ingat dunia.. ;) Hopefully kitorang adik beradik pun dapat meneruskan legasi Yusoff Bashah.. But this time it will be anak2 Mukhtar or MZ family.. ;) Tok Daddy and Tok Mommy would definitely be proud if there are still here to witness the bonding between their 'notty' kids.. Mesti Tok Daddy and Tok Mommy takkan sangka anak2 diorg yg selalu main kat Kampung Lanun tak berselipar, balik kena cubit then calit dgn kapur kasut, now dah ada their own big family and created their own success stories.. ;)

LanYus said...

hahaha...Ja. those were the days.
Calit kapur kasut nak padam bekas cubit sebab ikut zorro pergi masuk hutan..
tak berseliper tu pergi tolong orang jual tempoyak!!

azzey said...

terharu baca terutama yang perenggan2 akhir tu.......

p/s: slm ziarah puan Zai.....t ksh atas ilmu yg diberi sepanjang kursus ni 93-6/12/2010 ; IKOM......AZZEY...

Anonymous said...

Doi...siyes rase nk nangeh bace artikel ni...tp sorry mak muk ina xdpt tunjuk kat mama lg sbb mama kat sabah..nanti ina cube tulis surat kat die copy pe mak muk tulis ni...anyway i am so sure she loved u so much jugak...n die mesti akan nangis baca nanti.. Kuarga Yusoff Bashah mmg paling hebat! huhu Luv u all.

from Ina anak ZAiNaB oke..
(xtau nape xleh masukk akaun lak..doi~~)